Rugi RM1 juta akibat curi elektrik,SESB buat laporan polis di Lahad Datu

LAHAD DATU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengalami kerugian mencecah RM1 juta berikutan kegiatan penyambungan elektrik secara haram yang dilakukan penghuni setinggan Kampung Puyut, di sini.

Anggaran kerugian itu didedahkan Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau, berdasarkan kira-kira 1,000 rumah yang dipercayai ada di penempatan berkenaan.

Berikutan itu, beliau membuat laporan polis berhubung kegiatan sambungan haram dan mencuri elektrik di penempatan setinggan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini.

“Saya bersama pasukan SESB membuat tinjauan di perkampungan setinggan ini dan mendapati sambungan haram dilakukan secara terang-terangan.

“Ini adalah satu kegiatan yang sangat serius dan oleh itu saya terus ke IPD Lahad Datu untuk membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Antara sambungan haram elektrik yang dikesan di Kampung Puyut, Lahad Datu.

Beliau berkata laporan polis itu dibuat untuk memohon pihak polis menyiasat individu yang terlibat dalam kegiatan penyambungan haram itu.

“Saya juga meminta agar siasatan dibuat sama ada pemasangan sambungan haram ini dilakukan penduduk setinggan Kampung Puyut atau oleh sindiket atau kartel,” katanya.

Jelasnya, laporan itu juga dibuat bagi meminta pihak polis menyiasat sama ada sambungan haram itu melanggar mana-mana enakmen, akta atau undang-undang.

“Jika ya, apakah hukuman yang boleh disabitkan kepada individu-individu yang terlibat.

“Saya juga minta pihak polis menyiasat berapakah sebenarnya kerugian yang ditanggung SESB akibat kegiatan mencuri elektrik dan sambungan haram ini.

Madius bersama anggota SESB meninjau sendiri kegiatan mencuri elektrik di penempatan setinggan Kampung Puyut, Lahad Datu.

“Laporan ini juga dibuat untuk memastikan tiada yang menjadi mangsa renjatan elektrik kerana sambungan haram ini sangat berbahaya dan boleh mengancam nyawa orang awam termasuk penduduk Kampung Puyut sendiri,” katanya. – Info X