KOTA KINABALU: Satu tinjauan bagi melihat keadaan terkini di Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) dijalankan sekumpulan penyelidik dari lapan agensi bermula hari ini hingga 15 September 2024.
Tinjauan itu diterajui Jabatan Hidupan Liar Sabah atas anjuran bersama Kumpulan Yayasan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Taman-Taman Sabah, WWF-Malaysia, Sabah Environmental Trust serta Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Menerusi satu kenyataan, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar, berkata tinjauan Sumber dan Hidupan Liar Kanyon Imbak itu bertujuan meneroka potensi dan melihat perspektif baharu kekayaan sumber semula jadi serta kepelbagaian hidupan liar di kawasan itu.
“Dengan tamatnya Pelan Pengurusan Strategik ICCA pada 2023, adalah kritikal untuk mengumpulkan data terkini mengenai sumber dan kelimpahan hidupan liar di sana.
“Oleh itu, tinjauan ini akan memberikan maklumat terkini mengenai kepelbagaian biologi flora, fauna dan spesies haiwan dalam ICCA dan kawasan sekitarnya.
“Maklumat yang diperoleh akan menjadi asas penting untuk merangka pelan baharu yang menyeluruh, memastikan kesinambungan usaha pemeliharaan dan strategi pengurusan komprehensif untuk masa hadapan,” katanya.
Kanyon Imbak adalah salah satu hutan dipterokarp tanah pamah terakhir yang belum diteroka di Sabah yang terletak di tengah Borneo dan berfungsi sebagai kawasan tadahan air utama bagi Sungai Kinabatangan, iaitu sungai terpanjang di Sabah.
Selain peranan hidrologi, Kanyon Imbak juga menjadi koridor penting hidupan liar, menghubungkan Lembah Danum dan Lembangan Maliau, selain menyediakan perlindungan bagi spesies terancam seperti gajah pigmi Borneo, orang utan dan harimau dahan.
Kawasan perlindungan itu juga memainkan peranan yang kritikal dalam pemulihan hutan, bertindak sebagai bank gen yang menyokong pemulihan kawasan terdegradasi, dan memastikan kelestarian ekosistem Sabah.
Ghulam berkata, selain pengumpulan data untuk Pelan Pengurusan Strategik ICCA, objektif utama tinjauan itu bersasarkan pendokumentasian kepelbagaian dan pengedaran hidupan liar serta potensi ancaman seperti pemburuan haram, kebakaran hutan dan kesan penggunaan tanah di kawasan sekitar.
“Di luar aspek pemeliharaan, tinjauan ini juga akan meneroka potensi pembangunan pelancongan dan mengenal pasti topik penyelidikan untuk kajian masa hadapan.
“Tinjauan ini adalah yang kedua selepas tinjauan awal pada 2012. Lebih 150 peserta, termasuk penyelidik terkemuka, pegawai dari agensi kerajaan dan staf sokongan menyertai tinjauan ini.
“Kita berhasrat untuk melakukan tinjauan menyeluruh bagi mencapai semua objektif kajian,” katanya.
Sebanyak tujuh lokasi dikenal pasti untuk tinjauan itu, dengan peserta ditempatkan secara komprehensif bagi memaksimumkan liputan seluas dua kilometer bagi setiap lokasi.
Apabila tinjauan berakhir, satu seminar akan diadakan untuk membentangkan segala penemuan tinjauan. – Info X
More Stories
Miliki petrol tanpa lesen,dua lelaki didenda RM10,000 dan RM6,000 seorang lagi dipenjara
Wisma Putra ambil maklum kehadiran kapal tentera laut asing di EEZ Malaysia
Tiga individu diserang memerang ketika berjoging