RUGI RM20,000 DITIPU ‘PEGAWAI POLIS’

PENAMPANG: Malang buat seorang lelaki apabila kerugian kira-kira RM20,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, mangsa berusia 59 tahun itu menerima panggilan ketika berada di Putatan, daripada individu yang menyamar sebagai kakitangan TM dari Kuala Lumpur, kira-kira jam 9 pagi.

“Suspek menyatakan dua talian telefon yang didaftarkan atas nama mangsa terbabit dengan kes perjudian dan pengubahan wang haram.

“Panggilan telefon itu kemudian disambung kepada pegawai polis disyaki menyamar kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

“Mangsa diarah memindahkan semua wang dari akaunnya ke akaun Bank Negara (disyaki palsu) untuk siasatan lanjut pihak polis dan Bank Negara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, mangsa kemudian membuat dua transaksi perpindahan wang secara dalam talian ke akaun yang diberikan oleh suspek sebanyak RM20,000.

“Suspek sekali lagi mengarahkan mangsa membuat perpindahan wang RM10,000 namun tidak berjaya.

“Mangsa merasa dirinya ditipu lalu membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, siasatan sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihatkan orang awam supaya tidak panik apabila menerima panggilan telefon daripada orang yang menyamar sebagai agensi penguatkuasaan.

“Kita minta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket Macau Scam.

“Orang ramai boleh meminta nasihat di balai polis terdekat jika menerima panggilan yang meragukan,” katanya./BERITA SABAH