40KG IKAN DISYAKI DIBOM DIRAMPAS

KOTA KINABALU: Sebanyak 40 kilogram ikan pelbagai jenis dirampas kerana disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan dalam operasi bersepadu di pasar malam Dataran Todak, Segama, di sini, malam tadi.

Operasi bermula jam 8 malam itu dilakukan PPM Kota Kinabalu dan turut dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Perikanan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dengan kekuatan seramai enam pegawai dan 30 angggota.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi itu dijalankan di pasar basah sekitar daerah ini bagi membanteras penjualan ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Ketika pemeriksaan di sebuah gerai menjual makanan seafood di pasar malam itu mendapati ikan yang dijual disyaki ditangkap menggunakan alat letupan.

“Pemeriksaan lanjut merampas kira-kira 40 kilogram ikan yang disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, rampasan dibawa ke Pejabat Markas PPM Kota Kinabalu untuk dibuat laporan polis bagi tindakan Jabatan Perikanan Kota Kinabalu.

“Operasi bersepadu ini dijalankan untuk memberi amaran keras kepada semua peniaga supaya tidak sesekali menjual ikan yang ditangkap menggunakan bahan letupan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26(1)(c) 1985 iaitu menangkap ikan dengan cara menggunakan bahan letupan,” katanya./BERITA SABAH