KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah telah mengesahkan bahawa penyakit African Swine Fever (ASF) tidak berlaku di negeri Sabah di mana 33 sampel telah diuji dan semua negatif untuk virus ASF.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong berkata, pemantauan ladang ternakan babi juga giat dilaksanakan di 44 buah ladang babi di Sabah dan semua bebas daripada tanda klinikal ASF.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, disini hari ini.
Junz berkata, Sabah mempunyai populasi babi sebanyak 88,795 ekor iaitu di Tawau (30%), Telipok (26 %) dan Tuaran (21.75 %).
Katanya, surat larangan pengimportan babi dan produk babi dari negara terjangkit ASF telah dikeluarkan pada 5 Julai 2019.
“Surat larangan tersebut juga dimajukan kepada pasaraya dan kedai runcit sebanyak 112 premis di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata, jumlah tahanan produk babi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu(LTKK) adalah 1,159.26 kg (294 kes) iaitu tin produk babi, daging salai babi, ham, sosej dan keropok kulit babi yang telah dimusnahkan oleh DVS Sabah.
“Kes tahanan produk babi kebanyakan dari pelancong luar dan tempatan dari negara China, Filipina, Singapura dan Korea.
Sabah akan kerugian sebanyak RM 220 juta jika berlaku wabak ASF,” katanya.
Junz berkata, kemasukan haiwan dan produk haiwan memerlukan lesen import DVS Sabah seperti yang terkandung dalam Seksyen 5, Enakmen Haiwan 2015.
Sekiranya disabitkan kesalahan boleh didenda RM50,000.00 atau dipenjara tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya seperti di Seksyen 15(2), Enakmen Haiwan 2015).
Katanya, DVS sangat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak agar negeri Sabah kekal bebas dari penyakit ASF.
Wabak ASF berlaku di Negara China, Korea Utara, Korea Selatan, Vietnam, Cambodia, Mongolia, Laos, Filipina dan Timor-Lesta.
Penyakit ASF adalah penyakit yang berjangkit pada babi domestik dan babi hutan dan akan mengakibatkan kerugian serius kepada ekonomi industri babi kerana ia sukar dikawal dan kadar kematian sehingga 100%.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ