PEMAIN Kedah, Aminuddin Abu Bakar (tengah) bersaing dengan pemain Melaka, Muhammad Izreen Izwandy (kiri) pada SUKMA 2018 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, hari ini. – Foto BERNAMA
SERI MANJUNG: (15 September) Kedah dan Sabah mara ke separuh akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 apabila mengatasi lawan masing-masing di suku akhir, petang tadi.
Dalam aksi di Stadium TLDM, Lumut, Sabah menghampakan Pahang 7-6, melalui sepakan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 pada masa tambahan.
Pahang mendahului 2-0 pada separuh pertama melalui Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-5, dan Muhammad Jadulhaq Sairul Fauzi pada minit ke-24.
Bagaimanapun Sabah bangkit pada babak kedua dan memadam kelebihan skuad Tok Gajah melalui dua jaringan Stanley Sulong pada minit ke-64 dan ke-67.
Sabah kemudian mengambil alih giliran selaku pendahulu menerusi jaringan Hamran Peter pada minit ke-76.
Ketika kekalahan sudah menggamit skuad Pahang, Muhammad Badrul Amin Jesmi menyamakan kedudukan 3-3, hasil jaringan pada minit ke-92 untuk memaksa tambahan masa.
Pertarungan sepanjang 30 minit pada masa tambahan kekal tanpa jaringan tambahan dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang berkesudahan Sabah menang 7-6.
Dalam satu lagi aksi suku akhir, Kedah bangkit daripada ketinggalan pada separuh pertama untuk mengecewakan Melaka 2-1 dalam masa tambahan.
Perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) itu menyaksikan Melaka tampak berada di landasan tepat untuk mara ke kelompok empat terbaik apabila mendahului melalui jaringan Muhammad Izreen Izwandy pada minit ke-45.
Namun, pemain gantian Pahang, Ahmad Firdaus Ismail membalas kepercayaan yang diberikan dengan meledak gol penyamaan pada minit ke-89, untuk memaksa perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.
Aminuddin Abu Bakar kemudian muncul wira Kedah apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-116 masa tambahan untuk membawa pasukannya ke separuh akhir – Oleh Azizan Hashim/BH Online

More Stories
Pasukan Tommy Hardware juara Pertandingan Open Double Dart Challenge
Izzuddin-Sze Fei cipta kejutan ke final BAC
Belum ada keputusan rasmi pengisian slot pemain import terbaharu – Kim Swee