Sabah perlu bantuan kerajaan pusat perkasa pembolehdaya pembangunan negeri

KOTA KINABALU, 14 Sept (Bernama) — Kerajaan negeri Sabah memerlukan bantuan kerajaan pusat dalam memperkasa pembolehdaya pembangunan dan pertumbuhan negeri.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, Datuk Peter Anthony, berkata pemerkasaan pembolehdaya berkenaan termasuk dari segi pembangunan infrastruktur yang turut merangkumi kemudahan utiliti asas dan jaringan perhubungan seperti jalan raya, laluan rel kereta api dan pelabuhan.

“Hasrat kerajaan negeri adalah untuk merancakkan lagi pembangunan sedia ada dan akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik terutama dengan sokongan kerajaan pusat.

“Pertumbuhan ekonomi yang rancak akan menarik lebih ramai pelabur, sekali gus menjana lebih banyak pendapatan kepada negeri serta peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya pada taklimat pembangunan negeri Sabah yang dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, di sini, hari ini.

Taklimat itu turut disertai Unit Perancang Ekonomi di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Unit Perancang Ekonomi Sabah.

Peter juga berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah kini sebanyak RM80 bilion dan Sabah berada pada kedudukan kelima berbanding negeri lain yang menyumbang kepada KDNK nasional dengan sumbangan sebanyak tujuh peratus.

“Sungguhpun demikian, Sabah masih negeri yang mempunyai kadar kemiskinan dan pengangguran tertinggi di negara ini masing-masing 2.9 peratus dan 5.6 peratus.

“Justeru, pembangunan di Sabah perlu lebih dipertingkatkan, khususnya bagi kawasan luar bandar agar jurang sosio ekonomi antara bandar dan luar bandar dapat dirapatkan,” katanya.

Menurut Peter, daripada populasi penduduk Sabah seramai 3.85 juta, 40 peratus atau 1.55 juta berada di kawasan luar bandar.

— BERNAMA