SABAH TUAN RUMAH KEJOHANAN KARATE KEBANGSAAN

Oleh Wartawan BS
11 Fabruari 2020

KOTA KINABALU: Reputasi Persatuan Karate Sabah (SKA) sebagai tuan rumah kejohanan besar sekali lagi terserlah apabila dipilih untuk menganjurkan Kejohanan Karate Senior Kebangsaan MAKAF ke-40.

Pertandingan terunggul dalam kalender Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) itu akan diadakan di dewan serbaguna Kompleks Sukan Kota Kinabalu di Likas pada 10 hingga 14 Jun depan.

Ketika memaklumkan perkara itu, setiausaha agung SKA, Julian Chin, berkata kejohanan itu adalah satu kebanggaan bukan sahaja untuk persatuan tetapi juga untuk negeri Sabah.

“Kita telah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan oleh MAKAF, baru-baru ini, dan SKA akan berusaha sedaya upaya untuk menjayakan kejohanan bertaraf kebangsaan itu,” katanya ketika dihubungi.

Tahun lepas SKA turut menjadi tuan rumah kepada dua kejohanan bertaraf Asia iaitu Kejohanan Kadet, Junior dan Bawah-21 Asia dan Kejohanan Shureido Cup yang julung-julung kali diadakan.

Sementara itu, Julian berkata kejohanan karate senior kali ini bakal menjadi tumpuan kerana ia menjadi pentas terakhir para atlet sebelum menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) yang berlangsung pada bulan berikutnya.

“Saya percaya pasukan yang bertanding akan menghantar atlet-atlet Sukma sebagai antara persiapan terakhir sebelum menghadapi temasya sukan negara itu.

“Sabah juga tidak terkecuali dan kejohanan itu penting untuk menilai para atlet dan juga mengesan kelemahan yang ada supaya dapat diatasi sebelum Sukma,” katanya.

Seramai 300 peserta termasuk atlet, jurulatih dan pegawai pasukan akan berada di Kota Kinabalu untuk kejohanan karate senior kebangsaan itu nanti.

Untuk rekod, Sabah menduduki tempat kedua keseluruhan di belakang juara Pulau Pinang pada kejohanan sama tahun lepas dengan pungutan tiga pingat emas, tiga perak dan tujuh gangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *