‘SARANG’ PATI TERUS DIGEMPUR

KOTA KINABALU: Tiga warga Filipina ditahan dalam operasi bersepadu di empat lokasi yang dikenalpasti menjadi ‘sarang’ pendatang asing tanpa izin (PATI), di sini.

Dalam operasi semalam yang bermula kira-kira jam 2 petang itu, seramai 20 individu telah diperiksa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, semua yang diperiksa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk dokumentasi.

“Hasil pemeriksaan dokumen pengenalan diri seramai 17 individu dibebaskan selepas keluarga dan majikan memberi kerjasama dengan menghantar kad pengenalan dan pasport asal untuk tujuan pemeriksaan asal.

“Tiga individu dewasa ditahan adalah warga Filipina berusia 19 hingga 50 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

“Operasi di empat lokasi ini dijalankan kerana kadar pertumbuhan PATI yang mengundang kepada kegiatan jenayah di daerah ini.

“Operasi ini akan berterusan pada masa akan datang dan orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada balai polis berhampiran dalam usaha untuk membanteras jenayah, PATI, dadah dan gejala sosial,” katanya.

Terdahulu, operasi itu turut dibantu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Suruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), RELA dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).