SHAFIE LANCAR RANGKA TINDAKAN PERTANIAN SABAH 2021 – 2030 ….ia selaras dengan hala tuju dan aspirasi kerajaan baru dalam pembangunan sektor pertanian di Sabah.

Shafie (tengah) menekan baton, simbolik pelancaran Rangka Tindakan Pertanian Sabah  2021 – 2030. Turut kelihatan Junz Wong (kiri)

Oleh: Bio James

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal telah melancarkanRangka Tindakan Pertanian Sabah 2021 – 2030 atau Sabah Agriculture Blueprint 2021 – 2030 pada Selasa.

Blueprint Pertanian ini merupakan rangka tindakan sektor pertanian yang dibangunkan selaras dengan hala tuju dan aspirasi kerajaan baru dalam pembangunan sektor pertanian di Sabah.

Shafie berkata, objektif Blueprint ini antara lain adalah untuk meningkatkan produktiviti, kualiti dan kuantiti pengeluaran sektor pertanian di Sabah yang merangkumi sektor tanaman, perikanan dan ternakan. 

‘Pengeluaran hasil pertanian yang produktif dan bernilai tinggi menyumbang kepada bekalan makanan yang sentiasa mencukupi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri melalui Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” katanya.

Shafie berkata, dalam perspektif global, Bank Dunia merumuskan bahawa sektor pertanian adalah penyumbang utama kepada pembasmian kemiskinan di dunia.

“Sektor pertanian juga menyumbang kepada peningkatan kemakmuran bersama dan sebagai sumber makanan kepada 9.7 bilion penduduk dunia pada tahun 2050,” katanya.

Katanya, Bank Dunia mendapati pertumbuhan dalam sektor pertanian adalah dua (2) hingga empat (4) kali lebih berkesan dalam meningkatkan pendapatan golongan termiskin berbanding sektor-sektor lain.

Shafie (tengah) melawat gerai pertanian selepas majlis pelancaran Rangka Tindakan Pertanian Sabah 2021 – 2030, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS)

Katanya, kajian Bank Dunia pada tahun 2016 merumuskan 65 peratus golongan dewasa  bekerja dalam Sektor Pertanian.

Katanya, diperingkat nasional, sektor pertanian menyumbang 8.2% atau RM96.0 bilion kepada KDNK pada tahun 2017.

“Bagi negeri Sabah, sektor pertanian adalah teras ekonomi negeri.   Ianya menyumbang secara purata kira-kira 24% kepada KDNK Sabah pada tempoh 2010 – 2017,” katanya.

Katanya,   bagi tempoh 2010 – 2014, sektor pertanian adalah penyumbang kedua tertinggi kepada KDNK Sabah selepas sektor perkhidmatan.

Katanya, pada tahun 2018, sebanyak 0.5 juta atau 38% daripada 1.3 juta jumlah tenaga buruh di Sabah adalah dalam sektor pertanian. 

“Oleh sebab itu, tidak dapat dinafikan bahawa sektor pertanian memainkan peranan yang sangat penting bagi negeri Sabah untuk menjamin sumber makanan yang mencukupi bagi rakyat,” katanya.

Shafie berkata, sektor pertanian menyediakan makanan yang selamat, sumber pendapatan kepada petani, penternak dan nelayan serta merupakan salah satu sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah. 

Shafie ketika berucap di majlis pelancaran Rangka Tindakan Pertanian Sabah 2021 – 2030

Justeru katanya, sektor pertanian perlu terus berkembang ke tahap yang lebih tinggi untuk memberi manfaat bukan sahaja kepada seluruh rakyat dan ekonomi Sabah tetapi juga di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Atas sebab itu, adalah penting untuk menguruskan rantaian nilai komoditi pertanian bermula dari peringkat pengeluaran (upstream) sehinggalah ke peringkat hiliran (downstream) dan seterusnya pemasaran,” katanya.

Beliau berkata, aspek pemasaran hasil-hasil pertanian sangat kritikal untuk memastikan segala usaha dan jerih payah petani, penternak dan nelayan memberikan pulangan yang setimpal dan meningkatkan taraf hidup mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Katanya, usaha berterusan perlu diambil untuk membantu pemasaran hasil-hasil pertanian.

“Saya tahu antara lain Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) pernah melaksanakan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di Imago pada tahun ini. 

Sambutannya amat memberangsangkan namun kebanyakan produk habis sebelum program berakhir,” katanya. 

Beliau berkata, aktiviti-aktiviti hiliran hasil-hasil pertanian masih rendah dan kurang diterokai. 

“Saya ingin melihat sektor ini terus berkembang dalam seluruh rantaian nilai khususnya bagi komoditi seperti rumpai laut dan komoditi-komoditi lain pertanian untuk meningkatkan pendapatan peladang, penternak dan nelayan serta menyumbang kepada ekonomi negeri Sabah,” katanya.

Katanya, aspek pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam sektor pertanian perlu diteruskan dan diperkasa untuk mencetus lebih banyak inovasi dan penambahbaikan berterusan dalam sektor ini. 

Sebagai contoh, katanya rumpai laut bukan sahaja berkhasiat untuk dimakan, rumpai laut boleh digunakan untuk menghasilkan plastik pembungkus uncang makanan yang boleh terus dimakan.  Produk seumpama ini organik dan mesra alam. 

Katanya, R&D memainkan peranan penting dalam meneroka penghasilan produk-produk berasaskan pertanian. 

“Saya pasti banyak potensi R&D untuk penghasilan pelbagai produk hiliran berasaskan hasil-hasil pertanian yang boleh dibangunkan. Inilah antara aspirasi dan hala tuju sektor pertanian di Sabah. 

Saya yakin melalui R&D dan inovasi, kuantiti dan kualiti hasil pertanian dapat dipertingkatkan lagi tanpa menggunakan keluasan kawasan tanah yang banyak. 

Saya yakin melalui R&D dan inovasi, potensi aktiviti hiliran berasaskan sumber hasil pertanian dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Shafie berkata, cetusan inovasi dan R&D mampu menjadikan Sabah sebagai pengeluar makanan berkualiti untuk keperluan domestik dan eksport.

Katanya, penggunaan teknologi terkini di bawah Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) sangat kritikal untuk meningkatkan lagi produktiviti sektor ini ke tahap yang lebih tinggi.

Shafie berkata, Sabah harus bergerak pantas seiring dengan perkembangan teknologi untuk berada di hadapan dalam sektor pertanian. 

Katanya, dalam tempoh 10 tahun akan datang, sektor pertanian perlu dipacu dan melangkah dalam kerangka IR 4.0. 

“Saya sedar ini adalah cabaran besar bagi pemain-pemain industri dalam sektor pertanian namun saya yakin ianya bukan perkara yang mustahil,” katanya.

Shafie berkata, Indonesia akan memindahkan ibu negara dari Jakarta ke Kalimantan, yang hanya terletak kira-kira 40 km dari Kalabakan Tawau melalui laluan darat.

Katanya, potensi kerjasama dan perdagangan dengan negara tersebut amat luas dan ini termasuklah sektor pertanian.

Oleh sebab itu, kita perlu bersedia dengan produk dan perkhidmatan yang bernilai tinggi untuk memanfaatkan peluang-peluang yang terbuka luas. 

Katanya, kemudahan infrastruktur yang lengkap perlu disediakan bagi memudahkan perdagangan dua hala dengan Indonesia dan negara-negara jiran.

“Saya memohon pertimbangan peruntukan kerajaan persekutuan bagi cadangan program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) khususnya bagi sektor pertanian. 

Walaupun merupakan penyumbang terbesar hasil ikan marin di Malaysia, Sabah belum mempunyai kemudahan kompleks bersepadu untuk pendaratan dan pengurusan import-eksport ikan.

Saya memandang berat perkara ini dan memohon kepada kerajaan persekutuan mempertimbangkan peruntukan bagi pembinaan kompleks ini dalam RMKe-12,” katanya.

Beliau berkata, sektor pertanian yang merangkumi tanaman, ternakan dan perikanan adalah masa depan negeri Sabah.

Sehubungan itu beliau mendorong petani, penternak dan nelayan serta sektor swasta meneroka sektor ini dengan lebih proaktif dan lebih produktif namun mengekalkan keharmonian alam sekitar. 

“Saya yakin dengan adanya Sabah Agriculture Blueprint 2021-2030 sebagai panduan bakal mengubah landskap pembangunan sektor pertanian ke tahap yang lebih maju dan moden,” katanya. Tutut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *