Junz: Industri pertanian dan perikanan main peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri Sabah

Datuk Junz Wong, Menteri Pertanian dan Industri Makanan

Oleh: Nio James

KOTA KINABALU: Iindustri pertanian dan perikanan memainkan peranan sangat penting dalam pembangunan ekonomi negeri ini, ia menyediakan peluang pekerjaan, menyediakan sumber makanan dan pendapatan untuk kehidupan seharian.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Junz Wong sehubungan itu berkata, pelan pembangunan (blueprint) pertanian merupakan satu kerangka komprehensif bagi membolehkan fokus diberikan kepada para petani dan penternak menjalankan perusahaan masing-masing dengan bantuan agensi kerajaan agar lebih mampan serta berdaya saing.

Beliau berkata, pendekatan ini akan menyediakan peluang pasaran kepada hasil keluaran tempatan dengan harga yang lebih baik dan stabil.

“Saya yakin dengan perancangan 10 tahun ini (2021-2030), kerajaan boleh fokus kepada bidang pertanian, makanan dan perikanan bagi pembangunan industri pertanian yang lebih  komprehensif di sabah.

Kita perlu menggembeling semua sumber yang ada dan  menghadapi cabaran dalam pelaksanaan untuk mencapai hasil yang diharapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pelan pembangunan (blueprint) pertanian, disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Haji Apdal, di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, disini kelmarin.

Junz menekankan bahawa pelaksanaan ‘blueprint’ ini  memerlukan sokongan dan komitmen dari semua pemain  industri termasuk kementerian, jabatan, agensi dan pihak berkuasa yang berkaitan.

Katanya, usaha, dedikasi dan fokus yang jitu  amat perlu dalam memastikan pelaksanaan dan kejayaan perancangan yang telah dibuat.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah atas bimbingan beliau dan juga kepada semua pihak yang telah memberikan usaha berterusan dalam penyediaan pelan berkenaan.

Beliau  juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua  yang terlibat dalam merangka dan menyediakan pelan tersebut sehingga berjaya dilaksanakan dalam kadar segera sesuai dengan hasrat kerajaan yang ingin melihat ia digerakkan dalam skala besar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *