SHITEMBI PUKAU PENONTON DI LIKAS

KOTA KINABALU: Persembahan memukau pemain import Sabah, Petrus Shitembi, iringi kejayaan Tambadau Sabah mengatasi Felda United 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.

Walaupun tidak mencetak gol, pemain dari Nambibia itu memainkan peranan penting dalam membantu kemenangan pasukannya apabila melakukan tiga bantuan gol.

Beraksi di hadapan hampir 5,000 penyokong, tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk memperolehi gol pertama apabila Rodoljub Paunovic menanduk masuk sepakan sudut Petrus Shitembi pada minit ke-11 bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Pemain dari Nambibia itu kemudian sekali lagi menjadi pencetus jaringan buat Tambadau apabila sepakan sudutnya pada minit ke-38 membolehkan Park Taesu menanduk bola masuk ke gawang bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Bermula babak kedua, Felda United yang ketinggalan dua gol dilihat cuba mencari jaringan awal namun barisan pertahanan Sabah yang dikemudi ketua pasukan, Rawilson Batuil seakan sukar digugat lawan.

Peluang terbaik pelawat kemudian hadir pada minit ke-66 hasil rembatan Nicolas Leandro Velez dari dalam kotak penalti tetapi penjaga gol Sabah, Wan Muhammad Azraie Wan Teh bertindak cemerlang menepis bola keluar.

Pada minit ke-71, senjata baharu Tambadau, Kassy Guy Gnabouyou gagal memanfatkan peluang walaupun hanya berdepan penjaga gol, manakala cubaan susulan Paunovic selepas itu juga berjaya dihalang pertahanan lawan.

Kegagalan tuan rumah memanfaatkan peluang itu akhirnya dihukum Felda United apabila mereka merapatkan jurang pada minit ke-71 hasil rembatan kaki kiri kencang, Mohd Khairul Amri Mohd Kamal bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila pemain yang baru dimasukkan, Maxsius Musa meledak gol ketiga pada minit ke-76, juga hasil hantaran Shitembi.

Kedudukan itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat, seterusnya mengesahkan tiga mata menjadi milik tuan rumah.