TUARAN: Sekolah Kebangsaan (SK) Pukak, Kiulu seperti berada di pentas mereka sendiri apabila mengungguli Kejohanan Bola Jaring Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Tuaran yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Nangka, di sini, baru-baru ini.
Sekolah berkenaan bukan saja dinobat sebagai juara keseluruhan malah dua pemain mereka turut menerima anugerah penjaring terbanyak dan pemain terbaik kejohanan.
Dua pemain itu, ialah kapten mereka, Cheerily Calvini Chin yang menjadi penjaring terbanyak manakala Angela Yumir dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan.

SK Pukak memulakan saingan peringkat kumpulan dengan garang apabila memenangi kesemua empat perlawanan dengan bergaya iaitu menewaskan SK Berungis 9-1, SK Tambalang (4-0), SK Rugading (5-1) dan SK Tamparuli 8-0.
Di peringkat suku akhir, SK Pukak sekali lagi sukar digugat apabila membelasah SK Sungai Damit 6-0 dan aksi cemerlang mereka itu diteruskan di separuh akhir apabila mudah membenam SK Mengkabong 7-2.
Pada perlawanan akhir, pasukan yang dikendalikan cikgu Priscella Aletha Koek itu juga tidak menghadapi masalah untuk muncul juara apabila menewaskan Kitapol 8-2.

Selain Cheerily dan Angle, pemain lain yang membarisi SK Pukak ialah Chrischell Evy Jamrie; Milleyshane Fuentescynthia Zachery; Elyana Sakura Muslee; Nexvy Mixelynly Linus; Nur Syira Syazrina Nasrul; Nur Syahirah; Syazwanie Abd Razik; Netlyvnnie Sharby Jounar; Cerlyinda Arnold; Ashlye Vinely Jasvin dan Schannen Henna Jimey
Terdahulu selain mendapat tempat kedua keseluruhan, SK Kitapol turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Pasukan Fairplay dalam kejohanan itu.
Tempat ketiga dan keempat kejohanan itu masing-masing dimenangi SK mengkabong serta SK Gayang.

More Stories
Pasukan Tommy Hardware juara Pertandingan Open Double Dart Challenge
Izzuddin-Sze Fei cipta kejutan ke final BAC
Belum ada keputusan rasmi pengisian slot pemain import terbaharu – Kim Swee