SMK Durian Tunggal terima bilik komputer e-Learning daripada kumpulan MNRB

[ad_1]

Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Pelaburan, Kumpulan MNRB, Ahkter Abdul Manan (lima, kanan) , Pengetua SMK Durian Tunggal, Paridah Omar (enam, kiri), guru-guru, kakitangan MNRB dan sebahagian daripada pelajar SMK Durian Tunggal bergambar bersama selepas penyerahan “MNRB e-Learning Room” yang disumbangkan oleh MNRB di bawah Program Lestari Cemerlang MNRB.

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) — Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, Alor Gajah Melaka menerima sumbangan sebuah bilik yang dilengkapi kemudahan pembelajaran dan pengajaran dengan menggunakan komputer dan rangkaian internet ‘MNRB e-Learning’ daripada Kumpulan MNRB bagi membantu pelajar belajar dalam persekitaran yang lebih kondusif.

Penyerahan itu dilakukan pada satu majlis sempena berakhirnya Program Lestari Cemerlang MNRB di sekolah itu baru-baru ini.

Menurut kenyataan MNRB di sini hari ini Program Lestari Cemerlang MNRB telah diperkenalkan pada tahun 2011 dengan disertai oleh empat buah sekolah angkat dan SMK Durian Tunggal merupakan sekolah angkat yang keempat yang dilaksanakan selama dua tahun bermula April 2017 hingga Mac 2019.

Majlis penutupan tersebut telah dihadiri oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan MNRB, Ahkter Abdul Manan, Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka,Hamza Nuruddin Ismail dan Pengetua SMK Durian Tunggal Paridah Omar.

Program Lestari Cemerlang MNRB itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporat pihak syarikat yang dicetus dan dirangka untuk membantu sekolah-sekolah di luar bandar mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang khususnya akademik.

Menurut kenyataan itu lagi pelbagai program akademik dan penambahbaikan prasarana sekolah telah dilaksanakan oleh pihak sekolah bersama MNRB seperti kelas tambahan, teknik menjawab soalan dan kem motivasi khusus untuk para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PT3 dan SPM, pengubahsuaian dan keceriaan pusat sumber serta menaja jersi untuk pasukan hoki dan bola jaring sekolah.

Lanjutan daripada program ini, MNRB turut menawarkan biasiswa di bawah tabung biasiswa MNRB kepada lima orang pelajar terbaik SPM sekolah ini untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat matrikulasi dan ijazah sarjana muda atau diploma.

Paridah dalam ucapan terima kasihnya kepada syarikat berkata pihak sekolah telah memperolehi pelbagai sumbangan bukan sahaja dalam aspek kewangan tetapi juga dalam aspek kepakaran dan motivasi dan yakin program ini telah menyuntik semangat kepada para pelajar dan warga sekolah untuk jangka masa panjang demi mencipta kejayaan dan kecemerlangan.

Pasukan bola jaring SMK Durian Tunggal menggayakan jersi sumbangan daripada MNRB di bawah Program Lestari Cemerlang

MNRB Holdings Berhad adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan. Antara anak-anak syarikat milik penuhnya ialah Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), Takaful Ikhlas Berhad (Takaful IKHLAS), MNRB Retakaful Berhad (MRT) dan Malaysian Re (Dubai) Ltd. (MRDL). MNRB disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

— BERNAMA

[ad_2]