STADIUM LIKAS SURAM ESOK

KOTA KINABALU: Aksi Liga Super antara Sabah dengan Perak di Stadium Likas, di sini, malam esok, bakal suram apabila perlawanan berkenaan diadakan tanpa penonton.

Ia berikutan pengumuman Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin yang menyatakan kesemua perlawanan Liga Malaysia yang berlangsung hari ini, esok dan Ahad diadakan tanpa kemasukan penonton.

Keputusan berkenaan dibuat sebagai langkah bagi menangani penularan COVID-19 di negara ini.

Dalam pengumuman itu juga, Hamidin berkata berkuatkuasa pada Isnin, semua pertandingan anjuran FAM & MFL termasuk perlawanan Shopee Piala FA Malaysia dan Piala Presiden 2020 ditangguhkan ke satu tarikh baharu yang akan ditetapkan kemudian.

Bagaimanapun, aksi antara Sabah dan Perak serta semua perlawanan Liga Super, hari ini dan esok masih boleh ditonton menerusi siaran secara langsung di TV Unifi.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) turut menasihatkan semua penganjur acara sukan dan belia tempatan atau antarabangsa agar menangguhkannya ke suatu tarikh yang lain.

“Berikutan dengan pengesahan kes positif Covid-19 yang pertama di Tawau kelmarin serta kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk menangguhkan semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19.

“Para penganjur acara dinasihatkan agar mematuhi arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh KKM bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19 dan orang ramai juga dinasihatkan agar mengelak daripada menyertai perhimpunan yang melibatkan orang ramai.

“Kerajaan Sabah sentiasa prihatin dan mendahulukan rakyat, mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan seluruh negeri,” kata Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe, dalam kenyataannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *