KOTA KINABALU: Walaupun mempamerkan persembahan baik, skuad bawah 19 tahun Sabah terpaksa akur dengan kehebatan Selangor apabila tumpas 2-4 dalam aksi Piala Belia di Kompleks PKNS Kelana Jaya, Selangor, petang tadi.
Pertembungan antara dua pasukan teratas Kumpulan B itu menyaksikan rekod tiga perlawanan tanpa kalah Sabah lebur dan sekali gus memberi ruang kepada Selangor untuk terus kekal di persada liga.
Sabah dibawah bimbingan ketua jurulatih, Johnny Dominicus turun selaku pasukan di tangga kedua tetapi hampir membuat kejutan apabila suatu ketika mendahului 2-1.
Selangor lebih dulu berada di hadapan hasil jaringan Muhd Fakrul Iman pada minit ke-40 tetapi perlawanan kembali seimbang selang empat minit selepas pemain tengah Sabah, Rusdi Roslan menjadi pemain pertama membolosi gawang selangor musim ini.
Pada babak kedua, giliran Sabah berada di hadapan menerusi gol Mohd Nasip Mohd Zain pada minit ke-47 untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Bagaimanapun, kemasukan pemain penyerang Selangor, Harith Naem Jaineh yang menggantikan Aiman Haikhal Azman pada minit ke-68 ternyata membawa impak positif kepada rentak permainan pasukan tuan rumah.
Harith menyamakan kedudukan hasil percubaan pertamanya pada minit ke-69 sebelum meletakkan Selangor di hadapan 3-2 selepas menjaringkan gol peribadi kedua pada minit ke-73.
Harith menambah derita Sabah apabila mencatatkan hatrrick pada minit ke-86 untuk kemenangan mutlak 4-2.
Dengan kemenangan itu, Selangor kekal sebagai pendahulu Kumpulan B dengan 12 mata dari empat perlawanan.
Sabah dengan kelebihan jaringan gol juga kekal di tangga kedua walaupun berkongsi sembilan mata dengan UiTM FC.
Sabah akan meneruskan cabaran menentang Johor Darul Ta’zim IV di Stadium Penampang pada 15 Mac.

More Stories
Pasukan Tommy Hardware juara Pertandingan Open Double Dart Challenge
Izzuddin-Sze Fei cipta kejutan ke final BAC
Belum ada keputusan rasmi pengisian slot pemain import terbaharu – Kim Swee