SUSPEK TERJUN LAUT TINGGALKAN BOT, BOM IKAN

SEMPORNA: Seorang individu bukan saja tidak sempat menjalankan aktiviti bom ikan malah terpaksa terjun ke laut untuk melarikan diri selepas diserbu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna, di sini, kelmarin.

Difahamkan, kejadian berlaku di perairan Kampung Tabu-Tabu, dekat sini, kira-kira jam 4 petang sewaktu bot peronda APMM melaksanakan tugas rutin mereka.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan, berkata, ketika menjalankan rondaan, pihak Maritim Malaysia berjaya menahan sebuah bot pam warna hijau yang tidak mempunyai nombor pendaftaran.

“Anggota penguatkuasa kemudian cuba menahan bot pam itu selepas
mendapati ianya bergerak dalam keadaan mencurigakan namun juragan
bot pam terbabit bertindak melarikan diri dengan terjun ke dalam laut apabila
ternampak bot anggota penguatkuasa.

“Hasil pemeriksaan terhadap bot terbabit selepas itu turut menjumpai bahan letupan yang disyaki bom ikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bahan letupan yang dipercayai bom ikan ditemui dalam bot pam digunakan suspek.

Tambah beliau, bot pam bersama barang rampasan termasuk bot, bom dan
enjin pam yang dianggarkan bernilai RM 2,200 telah ditunda masuk ke Jeti Kem Azumi Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.

“Kes ini adalah yang pertama tahun ini dan pihak kami akan terus menjalankan operasi bagi membanteras aktiviti mengebom ikan di perairan Semporna,” katanya lagi.