KOTA KINABALU, 21 April — Pakatan Harapan (PH) Sabah mempersoalkan persetujuan kajian semula di bawah perkara 112D Perlembagaan Persekutuan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Sabah baru-baru ini.
Majlis Pimpinan PH Sabah dalam satu kenyataan hari ini mempersoalkan formula yang digunakan dalam pemberian khas kepada Sabah iaitu sebanyak RM125.6 juta yang meningkat 4.7 kali ganda daripada jumlah asal yang digunapakai pada tahun 1973 iaitu RM26.7 juta.
“Atas dasar apakah kenaikan 4.7 kali ganda tersebut dibuat?
“Jelas sekali persetujuan untuk menambah geran khas dengan pendaraban 4.7 adalah tidak berdasarkan formula 40 peratus.
“Kerajaan Negeri Sabah seharusnya berpendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan mana-mana kajian semula dibawah Perkara 112D sebelum pengiktirafan dan kebolehgunaan formula 40 peratus dipersetujui dan dihormati oleh kerajaan Persekutuan,” jelas kenyataan tersebut.
Kenyataan itu dikemukakan bersama oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Christina Liew, Ketua Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung, dan Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah Lahirul Latigu.
Tambahnya lagi, jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz di Parlimen baru-baru ini yang menyatakan formula 40 peratus tidak lagi terpakai jelas menunjukkan pendirian tersebut bertentangan dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Tafsiran berat sebelah dalam perkara ini (perkara 112D Perlembagaan Persekutuan) akan memberi kesan yang boleh mengancam hak perlembagaan Sabah yang dipersetujui sewaktu pembentukan Malaysia hampir 59 tahun lalu.
“Sekiranya kebolehgunaan formula 40 peratus itu terus menjadi batu penghalang dalam rundingan di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Sabah, maka kita berada di jalan buntu dalam pertikaian perlembagaan mengenai maksud dan tafsiran perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Susulan dari itu, pihak mahkamah haruslah mengambil peranan dan tanggungjawab dalam mentafsir maksud serta niat Perlembagaan Persekutuan.
“Apabila wujudnya pertikaian seperti ini, ianya terletak kepada kuasa Mahkamah Persekutuan dan bukannya kepada pentaksir bebas untuk memainkan peranan dan tanggungjawab mentafsir maksud dan niat Perlembagaan Persekutuan,” jelas kenyataan itu.
More Stories
Pembinaan semula jambatan Pekan Tuaran – Sg Damit disenaraikan dalam RP5 RMKe-12 dengan kos RM30 juta: Kementerian Ekonomi
‘DUN Sabah bubar Ogos 2025’
Jelajah UPKO Gelombang Pantai Timur Cawangan Baharu Kg Sg Beruang Libaran dibentuk, perjuangkan hak rakyat di akar umbi