TAMBADAU TERBANG KE SURABAYA

Oleh Wartawan BS
6 Februari 2020

KOTA KINABALU: Skuad Tambadau Sabah berlepas ke Surabaya, Indonesia, hari ini, bagi mengharungi aksi pra-musim mereka sebelum memulakan saingan Liga Super yang bakal membuka tirainya dalam tempoh kurang sebulan lagi.

Pengurus pasukan, Henry Soimpon, ketika dihubungi berkata, seramai 24 pemain diterbangkan ke Surabaya untuk aksi persahabatan bertemu pasukan Persebaya Surabaya pada Sabtu, seterusnya bersaing dalam kejohanan jemputan bagi merebut Piala Gabenor Jawa Timur yang bermula Selasa.

Antara yang dibawa untuk aksi pra-musim itu ialah kesemua pemain import iaitu Rodoljub Paunovic, Park Taesu, Hector Omar Ramos dan Dennis Buschening.

Selain itu, seorang lagi calon import baru iaitu pemain tengah kebangsaan Nambibia, Petrus Shimtebi turut dibawa bersama.

“Kita akan lihat persembahannya (Shitembi) nanti sama ada dapat memikat barisan jurulatih yang diketuai Kurniawan (Dwi Yulianto) atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Henry berkata aksi pra-musim di Surabaya akan menjadi pentas untuk pasukan bagi membentuk keserasian di kalangan pemain.

“Seperti yang dikatakan presiden SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah), Datuk Peter Anthony sebelum ini, pasukan tidak meletakkan apa-apa sasaran di kejohanan itu.

“Apa yang penting ialah membentuk keserasian pemain dan kita juga perlu mengelak daripada mendapat masalah kecederaan kerana saingan Liga Super akan berlangsung dalam tempoh kurang sebulan lagi,” katanya.

Dalam kejohanan itu nanti, Sabah akan bersaing dalam kumpulan A bersama pasukan tuan rumah, Arema FC selain dua lagi kelab dari Indonesia iaitu Persela Lamongan dan Persija Jakarta.

Sementara itu dalam kumpulan A, tuan rumah, Madura United akan bersaing dengan tiga pasukan lain iaitu, Persebaya Surabaya, Persik Kediri serta Bhayangkara FC.

Sabah akan memulakan kejohanan itu bertemu Arema FC pada Selasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *