TAMBADAU TETAP AKAN BAGI SAINGAN

Oleh Wartawan BS
10 Februari 2020

MALANG, INDONESIA : Sabah tetap akan memberi saingan sengit kepada Arema FC dalam aksi pembukaan kumpulan B kejohanan jemputan merebut Piala Gabenor Jawa Timur (JATIM), di sini, malam esok.

Pengurus pasukan, Henry Soimpon, berkata walaupun mereka tidak meletakkan apa-apa sasaran di kejohanan itu namun ia bukan bermakna mereka akan bermain sambil lewa.

Katanya, tujuan sebenar mereka dalam pra-musim di Indonesia adalah untuk mencari keserasian di kalangan pemain seterusnya membentuk satu pasukan lebih kuat sebelum memulakan aksi Liga Super yang akan berlangsung kurang sebulan lagi.

“Kita mengesan beberapa kelemahan ketika tewas 1-3 dalam aksi persahabatan dengan Persebaya Surabaya, Sabtu lalu, dan kita akan cuba atasinya dalam aksi-aksi seterusnya di Indonesia ini.

“Malam esok, kita akan bertemu dengan sebuah lagi pasukan digeruni dalam Liga Indonesia namun kita sama sekali tidak gentar bertemu mereka malah akan cuba memberi aksi terbaik untuk menyaingi mereka di hadapan ribuan penyokong mereka.

“Bagaimanapun dalam kejohanan ini, kita juga perlu berhati-hati agar pasukan ini tidak dilanda masalah kecederaan sebelum saingan Liga Super bermula nanti,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Tambadau di Stadium Kanjuruhan, di sini, hari ini.

Henry berkata, kesemua pemain juga bebas daripada sebarang kecederaan dan bersiap sedia untuk diturunkan esok.

“Saya yakin ketua jurulatih (Kurniawan Dwi Yulianto) mempunyai strategi untuk mengekang pasukan Arema FC esok, namun apa yang lebih penting bagi saya ialah setiap pemain yang diturunkan dapat mengadaptasi corak permainan baharu yang diterapkan Kurniawan,” katanya.

Sementara itu, beliau juga berharap setiap pemain yang diberi peluang beraksi akan memberikan aksi terbaik.

“Ini adalah peluang untuk mereka membuktikan kemampuan, kalau kita lihat ketika aksi bertemu Persebaya Surabaya, sebaik beberapa pertukaran dilakukan, kita nampak beberapa kesilapan dilakukan.

“Kita harus membentuk pasukan ini bukan hanya kepada kesebelasan utama tetapi juga pemain-pemain gantian agar mereka lebih bersedia apabila diperlukan pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam kejohanan itu nanti, Sabah akan bersaing dalam kumpulan A bersama Arema FC, Persela Lamongan dan Persija Jakarta.

Sementara itu dalam kumpulan A, tuan rumah, Madura United akan bersaing dengan tiga pasukan lain iaitu, Persebaya Surabaya, Persik Kediri serta Bhayangkara FC.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *