Tekun nasional bantu pertingkat ekonomi masyarakat siam

[ad_1]

TUMPAT, 8 Mac (Bernama) — Kementerian Pembangunan Usahawan akan membantu mempertingkatkan ekonomi masyarakat Siam negara ini melalui pembiayaan yang disediakan Tekun Nasional kata Menterinya Datuk Sri Mohd Redzuan Md Yusof.

Katanya terdapat kira-kira 72,000 masyarakat Siam di seluruh negara termasuk 18,000 yang menetap di Kelantan.

“Setakat ini seramai 397 usahawan dalam kalangan masyarakat Siam telah mendapat pembiayaan Tekun Nasional bernilai RM8.43 juta di seluruh negara, termasuk 86 orang usahawan daripada Kelantan.

“Kita mahu lebih ramai lagi usahawan masyarakat minoriti dihasilkan melalui Tekun Nasional,” katanya selepas merasmikan Program Seminar Keusahawanan Masyarakat Siam Kelantan Bersama Tekun Nasional di sini, hari ini.

Program yang julung kali diadakan itu bertujuan melengkapkan usahawan dengan pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian, agar berupaya bergerak seiring perkembangan teknologi semasa.

Mohd Redzuan berkata walaupun masyarakat Siam adalah golongan minoriti, kelompok itu mampu membantu menyumbangkan pendapatan kepada negara melalui penglibatan mereka dalam pelbagai perusahaan.

“Mereka mungkin boleh memindahkan budaya dan kemahiran masyarakat mereka yang berada di sempadan negara terutama dari aspek pertanian dan pembuatan untuk dikembangkan secara lebih kreatif di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata antara prospek yang boleh diterokai masyarakat Siam termasuk pertanian, peruncitan dan penghasilan produk halal.

Dalam pada itu katanya kementerian pembangunan usahawan akan mengambil langkah proaktif dalam memberi pendedahan lebih terperinci berhubung teknologi kereta terbang, termasuk mengadakan festival dan pameran.

— BERNAMA



[ad_2]