TIGA BERADIK DITAHAN KES DADAH

BEAUFORT: Seramai 13 lelaki ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi khas ‘Ops Cegah’ yang dijalankan di sekitar kawasan Sipitang, awal pagi tadi.

Tiga daripada mereka juga adalah adik-beradik berusia 30, 38 dan 40 tahun yang ditahan di rumah mereka di Kampung Lubang Buaya, Sipitang.

Ketua Pegawai AADK Beaufort, Effanehwati Lakat berkata, operasi dijalankan seramai 11 pegawai dan anggota dari AADK Negeri dan AADK Beaufort, yang bermula 1.30 pagi hingga 5 pagi tadi.

“Operasi membabitkan lima kampung di Sipitang antaranya Kampung Bangsal, Lubang Buaya, Lumut, Guruh-Guruh dan Kampung Pelakat.

“Hasilnya menahan seramai 13 lelaki termasuk tiga beradik kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

“Salah seorang daripada tiga beradik itu bertindak agresif ketika ditahan namun berjaya ditenangkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Effanehwati berkata, semua yang ditahan berusia 27 hingga 52 tahun dan permohonan reman dilakukan di Mahkamah Majistret Beaufort.

“Semua ditahan disiasat mengikut Seksyeb 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi AADK Beaufort di talian 087-222667 atau tampil ke mana-mana pejabat AADK berhampiran,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *