LAHAD DATU: Taktik dua wanita yang bekerja di sebuah kedai di Desa Kencana, di sini, mendakwa kononnya kedai itu dipecah masuk hingga wang tunai RM10,000 dan pelbagai jenis rokok hilang terbongkar apabila siasatan mendapati wang dan rokok itu sebenarnya disembunyikan mereka.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menerima aduan daripada dua wanita terbabit yang merupakan pengurus dan pembantu di kedai berkenaan yang mendakwa kedai itu dipecah masuk dan beberapa barangan dan wang tunai hilang dipercayai dicuri.
“Wanita itu mengatakan ketika membuka kedai bersama rakan sekerjanya jam 7.10 pagi, Ahad lalu, mendapati rokok di dalam rak dan wang tunai dianggarkan RM10,000 di dalam peti besi yang terletak di dalam bilik pengurus hilang.
“Satu laporan polis dibuat oleh wanita terbabit pada hari sama, jam 12.38 tengah hari dan hasil pemeriksaan polis ke atas kedai berkenaan mendapati tiada kesan pecah masuk dan kunci mangga dalam keadaan baik.
“Curiga dengan laporan itu, polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menjalankan siasatan dan menahan pengurus, pembantunya serta seorang pekerja lelaki untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nasri berkata, hasil soal siasat mendedahkan perancang utama kejadian itu adalah pengurus kedai dan pembantu kedai berkenaan.
“Mereka mengatakan terdesak kerana mengalami kerugian hasil jualan sebanyak RM4,000 lalu melakukan pecah kedai yang dilakukan oleh suami pengurus kedai berkenaan dan seolah-oleh kedai itu dipecah masuk.
“Susulan itu, polis menahan suami pengurus terbabit dan merampas wang tunai RM6,000 serta ratusan kotak rokok pelbagai jenama di sebuah ladang di Kinabatangan,” katanya.
Menurutnya, semua suspek berusia 26 hingga 35 tahun ditahan dan polis merampas wang tunai RM8,164 serta 113 kotak rokok pelbagai jenama.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK