Wisma Putra ambil maklum kehadiran kapal tentera laut asing di EEZ Malaysia

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengambil maklum laporan mengenai kehadiran kapal tentera laut asing berhampiran sebuah pelantar minyak luar pesisir negara.

Menurut kementerian itu, walaupun pihaknya maklum dengan laporan berkenaan, ia tidak dapat mengulas kesahihan dan butiran terperinci pergerakan kapal tentera laut asing berkenaan kerana perkara ini berada di bawah pihak berkuasa pertahanan dan operasi keselamatan, lapor Berita Harian.

“Namun begitu, pendirian Malaysia terhadap Laut China Selatan kekal konsisten. Kami komited mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan kawasan maritim negara seperti digariskan dalam Peta Malaysia 1979,” kata Kementerian Luar dalam kenyataan, hari ini.

Pendirian itu selari dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Selari dengan dedikasi negara mengekalkan Laut China Selatan sebagai wilayah keamanan, kestabilan dan perdagangan, Malaysia akan terus terbabit secara diplomatik dengan semua negara yang berkaitan.

“Kerajaan juga kekal komited untuk menyelesaikan pertikaian melalui cara aman dan mematuhi prinsip yang digariskan dalam Deklarasi Perilaku Pihak di Laut China Selatan (DOC) yang menekankan kepentingan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan,” kata kenyataan itu.