Tiga termasuk wanita kemuka dokumen palsu kepada JPN ditahan

SANDAKAN: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, Jumaat lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan laman sosial rasmi JPN Negeri Sabah berkata, wanita terbabit dikatakan mengemukakan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan di JPN Daerah Sandakan, 15 Februari lalu.

Katanya, wanita itu memberikan maklumat palsu dengan menyatakan kedua-dua lelaki terbabit adalah anak kandungnya.

Wanita ditahan selepas disyaki mengemukakan maklumat palsu kepada JPN Sandakan. – Foto/JPN

“Risikan dan siasatan lanjut yang dijalankan oleh oleh Pegawai Penguatkuasa JPN mendapati wanita terbabit bukan ibu kandung kepada kedua-dua lelaki berkenaan.

“Ketiga-tiga individu terbabit ditahan pada 10 Mei lalu ketika hadir memberikan keterangan di JPN Daerah Sandakan,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga individu terbabit akan dituduh melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25 (1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (2007).

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Penguatkuasa JPN turut menahan dua lelaki kerana disyaki mengemukakan maklumat palsu kepada JPN Sandakan. – Foto/JPN

“JPN tidak akan berkrompomi dengan salah laku yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan negara,” katanya. – Info X