Tujuh lelaki pemburu haram ditahan berhampiran sempadan Hutan Simpan Paitan

KOTA KINABALU: Tujuh orang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pemburuan haram dalam operasi di Jalan Nangoh-Paitan, berhampiran sempadan Hutan Simpan Paitan, Beluran, Sabtu lalu.

Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan berkata, penahanan dibuat ketika anggota bertugas melaksanakan Operasi Anti Poaching kira-kira 1.10 pagi dan mendapati sebuah kenderaan pancuan empat roda yang mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit mendapati dua laras senjata api dan beberapa butir peluru.

Tambahnya lagi, pemeriksaan lanjut pasukan penguatkuasa Jabatan Perhutanan Sabah iaitu Unit Protect mendapati semua suspek gagal menunjukkan sebarang permit memburu hidupan liar ataupun lesen pemilikan senjata api.

“Bagaimanapun, tiada sebarang bangkai binatang buruan yang dijumpai dalam kenderaan tersebut.

“Semua suspek dan barangan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan media pada Sabtu lepas.

Dalam pada itu, Frederick menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti pemburuan hidupan liar secara tidak sah.

Menurutnya, selain bertentangan dengan undang-undang, pemburuan haram juga boleh menyebabkan kepupusan spesies fauna yang disenaraikan sebagai ‘Rare Threatened and Endangered’ untuk haiwan seperti banteng atau tembadau.

“Penggunaan senjata api tanpa lesen yang sah juga merupakan satu kesalahan di bawah Akta Senjata 1960,” katanya.

Frederick juga memohon kepada orang ramai untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan pemburuan hidupan liar secara haram kepada Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar.