TENOM: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar menjala ikan di Sungai Padas, Kampung Pangi, ditemui mati lemas, di sini, petang semalam.
Difahamkan mangsa, Kriston Jukiring berusia 19 tahun, awalnya telah meminjam sebuah kayak kepunyaan kawannya pada jam 5 petang Rabu lepas untuk menjala ikan dan disyaki hilang kerana tidak pulang ke rumah selama dua hari.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama jentera bergegas ke lokasi setelah mendapat panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada jam 10.15 pagi.
Menurutnya, mangsa berjaya ditemukan oleh penduduk kampung semasa pencarian bersama agensi penyelamat pada pukul 1.10 petang di kawasan tebing sungai, kira-kira 10 kilometer dari lokasi awal dia dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan yang turut hadir membantu di lokasi.
“Pasukan bomba kemudiannya menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi berjaya ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang,” katanya ketika ditanya pemberita.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK