UMS pecah rekod lompat tinggi lelaki, dominasi acara larian pecut wanita SUKIPT 2022

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuat kejutan pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 apabila berjaya memecahkan rekod dalam acara lompat tinggi lelaki serta mendominasi acara larian pecut kategori wanita.

UMS menerusi Mohamad Eizlan Dahalan mencatatkan rekod baharu kejohanan dengan lompatan setinggi 2.11 meter (m) sekali gus memadamkan rekod lama kejohanan 2.10m untuk dinobatkan pemenang pingat emas dalam kategori berkenaan.

Sementara itu, Nur Aishah Rofina Aling unggul sebagai juara dalam acara larian pecut 100m dan 200m wanita bagi mengetepikan atlet IPT lain untuk muncul sebagai Ratu Pecut SUKIPT 2022.

UMS sekali lagi meraih pingat emas melalui acara olahraga dalam kategori 400m wanita apabila larian deras Chelsea Cassiopea Evali Bopulas tidak mampu disaingi peserta lain sehingga ke garisan penamat.

Kejohanan selama 10 hari yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim itu menyaksikan UMS berjaya meraih 13 pingat iaitu melebihi sasaran awal sebanyak tujuh pingat.

Selain empat emas, UMS turut mengutip dua perak dan tujuh gangsa.

Pingat perak masing-masing diperoleh menerusi acara Karate Kumite Lelaki kategori atas 84 kilogram (kg) dan acara olahraga larian 200m wanita.

Sukan seni bela diri turut menyumbang tiga pingat gangsa melalui acara Karate Kumite Lelaki bawah 75kg, Kumite Wanita bawah 68kg dan acara Taekwando Kyurogi Wanita bawah 46kg.

Pingat gangsa selebihnya dikutip melalui acara lempar cakera, lontar peluru, badminton perseorangan lelaki dan acara olahraga larian 400m berpagar wanita.

Pada kejohanan tersebut UMS telah menghantar 28 atlet dengan dikendalikan oleh Pusat Sukan UMS yang diketuai Pengarahnya, Ahmadi Nurdin.