WANITA MAUT DALAM KEMALANGAN DI JALAN LAHAD DATU – TAWAU

LAHAD DATU: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandu suaminya bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan dalam satu tragedi kemalangan kira-kira pukul 6.15 petang semalam.

Kejadian yang berlaku di Kilometer 36, Jalan Lahad Datu -Tawau membabitkan Nissan Grand Livina yang dinaiki pasangan suami isteri berusia 59 dan 36 tahun dan sebuah Toyota Revo yang dipandu lelaki berusia 25.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas kenderaan Toyota Revo berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

Katanya, kenderaan Toyota Revo berkenaan terus merempuh kenderaan pasangan suami isteri ketika berada di selekoh berbukit.

“Semua mangsa cedera parah dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Sebaik tiba di hospital, penumpang wanita disahkan meninggal dunia, manakala dua lagi pemandu masih menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Rohan, siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Toyota Revo sehingga menyebabkan kenderaannya terbabas.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta memberi maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Muhammad Rasul Ramlee ditalian 089-881255 sambungan 414,” katanya.