Undi18 kena buat mulai 15 Dis ini, tapi mungkin tidak sempat untuk PRN S’wak

Kerajaan akhirnya menetapkan agar Undi18 boleh mula dilaksanakan pada 15 Dis ini, berdasarkan warta kerajaan yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Dengan terlaksananya pendaftaran pemilih secara automatik (AVR) itu, bermakna mana-mana rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas pada hari itu secara rasmi akan menjadi pengundi.

Untuk rekod tarikh berkuat kuasa yang dinyatakan itu ialah tiga hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dilaksanakan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada warganegara Malaysia yang berumur 18 hingga 20 tahun akan dibenarkan mengundi dalam PRN tersebut.

Hal itu kerana biasanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai badan yang mengendalikan sesebuah pilihan raya menggunakan daftar pemilih yang berkuat kuasa sebelum hari penamaan calon.

Asalnya had usia minimum untuk menjadi pemilih di negara ini ialah 21 tahun. Untuk menjadi pengundi seseorang itu perlu mendaftar dengan SPR bersama dokumen yang diperlukan.

Bagaimanapun ekoran kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada 2018, gabungan itu mengusahakan agar perlembagaan dipinda bagi menurunkan usia minimum pengundi menjadi 18 tahun.

Pada 16 Julai 2019 Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang meminda Perlembagaan Persekutuan dengan semua 211 ahli parlimen yang hadir ketika itu menyokongnya. 

Bagaimanapun pelaksanaannya tertangguh seketika apabila SPR mendakwa kewujudan pandemik Covid-19 mengganggu persiapan mereka dan menjangkakan ia boleh dikuat kuasa pada Sept 2022.

Kelewatan ini kemudian dicabar di mahkamah dengan Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan bahawa kerajaan mesti menurunkan had umur mengundi selewat-lewatnya 31 Dis tahun ini.

Apabila PH menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan pusat pada 13 Sept lalu isu menyegerakan Undi18 dan pendaftaran automatik pengundi turut menjadi satu daripada butiran yang dipersetujui bersama. 

Sementara itu pengasas bersama gerakan Undi18, Qyira Yusri (gambar), berkata dia menyambut baik pelaksanaan tersebut kerana ia akhirnya menjadi kenyataan.

Katanya golongan belia mesti mengambil peluang tersebut dan menggunakan hak yang baru mereka perolehi itu sebaik-baiknya.

“Sekiranya pilihan raya (umum) diadakan pada 2022, sangat penting untuk golongan muda Malaysia menunaikan hak mereka dengan mengundi ahli politik yang mereka rasakan wajar diberi kuasa,” katanya kepada Malaysiakini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *