UPKO HANYA AKAN LETAK CALON PUNYA INTEGRITI, BERPEGANG KEPADA PRINSIP

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hanya akan meletakkan calon yang mempunyai integriti dan berpegang kepada prinsip untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Seiausaha Agungnya, Nelson W Angang, berkata parti itu juga akan lebih berhati-hati dalam memilih calon selepas apa yang berlaku sebelum ini iaitu empat wakil rakyat mereka keluar parti.

“Kami yakin bahawa calon-calon yang akan kami ketengahkan, mereka sedar dan faham akan perkara ini iaitu apabila diberi peluang untuk menjadi calon, kesetiaan kepada perjuangan parti dan kesetiaan kepada komponen kerajaan negeri adalah perkara yang utama,” katanya, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nelson berkata, selain akan mengekalkan lima kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, parti itu juga telah memohon kerusi tambahan untuk PRN.

Katanya, permintaan itu dibuat kepada pimpinan tertinggi sekutu mereka iaitu Warisan dan Pakatan Harapan (PH) susulan persempadanan semula kawasan DUN yang bertambah daripada 60 kepada 73 kerusi.

”Bagaimanapun, buat masa ini perbincangan masih berjalan dan saya yakin perkara itu akan diumumkan presiden Upko (Wilfred Madius Tangau) nanti.

”Selain itu, Upko juga secara prinsipnya akan mempertahankan lima kerusi DUN yang dimenangi pada PRU14 lalu walaupun empat wakil rakyat kami sebelum ini telah keluar daripada parti,” katanya.

Nelson berkata, kerusi tambahan berkenaan telah dikenalpasti namun menegaskan ia perlu mendapat kata sepakat daripada rakan parti sekutu mereka.

“Kerusi yang dikenalpasti adalah kerusi yang Upko yakin boleh bertanding serta mempunyai peluang untuk menang.

”Bagaimanapun, bagi menghormati gabungan parti kerajaan negeri yang lain, belum tiba masanya kami mengumumkan berapa jumlah kerusi yang dimaksudkan,” katanya.-http://beritasabah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *