Oleh Willie Jude
KOTA KINABALU: Walaupun mencatat kemenangan 2-0 ke atas kelab dari Liga Filipina, Kaya FC, di Manila, kelmarin, pengurus pasukan Sabah, Henry Soimpon, akui masih banyak yang perlu dilakukan bagi memantapkan lagi skuad Tambadau untuk menghadapi musim baharu nanti.
Dalam aksi pra-musim berkenaan, dua gol masing-masing menerusi Arius Dius dan Mohd Azzizan Nordin di babak pertama sudah cukup untuk memastikan kemenangan Sabah terhadap naib juara Liga Filipina musim lalu itu.
“Kemenangan ini tidaklah begitu penting kerana apa yang lebih penting ialah kita perlu tingkatkan keserasian pemain dan oleh sebab itu kita perlukan lebih banyak aksi persahabatan sebelum memulakan kempen Liga Super nanti.
“Selain keserasian, perlawanan persahabatan ini juga penting bagi pemain memahami seterusnya membiasakan diri dengan corak permainan yang diterapkan jurulatih baru iaitu Kurniawan (Dwi Yulianto),” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Sementara itu, Henry berkata, dua pemain import iaitu Hector Omar Ramos atau lebih dikenali sebagai Pito serta Dennis Buschening yang turut dibawa ke Manila dilihat masih tercari-cari rentak sebenar mereka.

“Saya juga melihat mereka masih mencari rentak keserasian dengan pemain-pemain lain dan juga masih cuba mencari keserasian dengan sistem permainan baru Kurniawan,” katanya.
Bagaimanapun, Henry yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) tetap gembira dengan semangat para pemain terutama pemain muda yang diberi peluang beraksi dalam aksi persahabatan semalam.
“Mungkin terlalu awal untuk kita menilai prestasi pemain kerana ini baru perlawanan pra-musim kita yang pertama.
“Kita juga akan memberi peluang kepada para pemain muda dalam aksi persahabatan akan datang agar mereka lebih bersemangat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama,” katanya.
Dalam pada itu, Henry memberitahu seorang lagi calon import iaitu rakan senegara Pito dari Puerto Rico tiba di Manila semalam untuk beraksi dengan Tambadau dalam aksi persahabatan seterusnya esok bertemu dengan satu lagi kelab Filipina iaitu Stallion FC.
“Kita tengok macam mana nanti, sama ada ‘coach’ Kurniawan berminat dengan pemain itu atau tidak,” katanya.

More Stories
Pasukan Tommy Hardware juara Pertandingan Open Double Dart Challenge
Izzuddin-Sze Fei cipta kejutan ke final BAC
Belum ada keputusan rasmi pengisian slot pemain import terbaharu – Kim Swee