LABUAN: Ditolak ke dinding sebelum disamun. Itu detik cemas seorang wanita hamil lima bulan yang disamun dua lelaki dalam kejadian di tandas sebuah restoran di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, mangsa berusia 33 tahun terbabit diserang dua lelaki secara tiba-tiba sebelum wang tunai dan rantai leher miliknya dilarikan suspek.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian itu disedari pekerja restoran terbabit sebelum bertindak membantu dan menghantar mangsa ke hospital.
Katanya, dalam kejadian berkenaan, mangsa ditolak oleh salah seorang suspek sehingga terhantuk ke dinding.
“Akibat daripada kejadian itu, mangsa dikatakan terjatuh ke lantai sebelum disamun oleh kedua-dua suspek.
“Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan wang tunai milik mangsa sebanyak RM4,000 yang disimpan di dalam dompet bersama seutas rantai leher yang dipakainya sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Muhamad Farid berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai diekori oleh kedua-dua suspek selepas mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank.
Katanya, akibat dari kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan lebam di tangan kiri dan kepala akibat terhantuk.
“Mangsa kini masih ditahan di Hospital Labuan untuk tujuan pemeriksaan lanjut dan keadaan mangsa pada ketika ini stabil,” katanya.
Sehubungan itu, Muhamad Farid menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika membuat pengeluaran wang di pusat kewangan.
Katanya, orang ramai perlu berhati-hati dengan keadaan sekeliling dan memerhati sebarang kelakukan orang yang mencurigakan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh tampil memberikan keterangan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya.-http://beritasabah.com
More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK