PENAMPANG: Dua warga Pakistan cuba menyogok pihak polis RM7,000 kerana mahu mengelak dari ditahan selepas didapati membawa rokok seludup di Jalan Ulu Putatan, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, tindakan dua lelaki berusia 29 dan 35 tahun itu hanya sia-sia apabila mereka diberkas pasukan polis yang menjalankan tugas snap check Op Covid-19 di jalan berkenaan, kira-kira jam 3.30 petang.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, kejadian itu berlaku apabila sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menahan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat dua lelaki warga Pakistan berada di dalam kereta berkenaan dan suspek gagal menyatakan tujuan pergerakan mereka ketika tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa kotak rokok disyaki barang seludup dan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen pembelian bercukai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.
Mazli berkata, ketika tangkapan dilakukan, salah seorang daripada suspek mengeluarkan dan memberikan wang sogokan berjumlah RM7,000 sebagai ganjaran sekirannya kedua-dua mereka bersama barang seludup dilepaskan.
Katanya, walaupun sudah diberi amaran atas perbuatan itu namun suspek tidak mengendahkan menyebabkan pegawai dan anggota membuat tangkapan dan barang dipercayai seludup turut dirampas.
“Kedua-dua suspek dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut termasuk barang yang dirampas iaitu 755 kotak rokok pelbagai jenayah.
“Turut dirampas wang tunai RM37,409 dan kereta dinaiki suspek. Jumlah keseluruhan rampas bernilai RM109,409.
“Kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai penjaga kedai dan juga penghantar serta mengedarkan rokok disyaki seludup ke kedai-kedai di sekitar kawasan Putatan,” katanya.
Tambah beliau lagi, kes rokok seludup disiasat Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 manakala kes sogokan dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.
“Kedua-dua suspek turut disiasat mengikut Peraturan 11(1) Peraturan Pengawalan Penyakit-Penyakit Berjangkit 2020,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK