Waspada penipuan kerja secara sambilan

KOTA KINABALU, 26 April – Rakyat dinasihati agar sentiasa berwaspada dengan penipuan tawaran kerja secara sambilan yang dikatakan tular di media sosial akhir-akhir ini.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Mohd Kamarudin Md Din, pihaknya telah mengesan satu mesej tular yang dikongsikan melalui aplikasi WhatsApp berkenaan kerja secara sambilan yang kononnya ditawarkan oleh syarikat Nexea.

“Dalam mesej tersebut kononnya pihak syarikat Nexea menawarkan pekerjaan untuk memproses pesanan melalui platform aplikasi dengan upah lumayan sekitar RM300 ke RM500 sehari.

“Berdasarkan semakan, empat laporan polis telah dibuat berkait skim pelaburan yang kononnya dianjurkan oleh pihak Nexea dan jumlah keseluruhan bagi kesemua laporan polis tersebut adalah RM69,000,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, melalui siasatan, pelabur yang berminat diarahkan untuk memindahkan wang kepada pihak syarikat melalui akaun yang diberikan.

“Akaun terbabit bagaimanapun dimiliki oleh individu persendirian yang dipercayai keldai akaun.

“Pelabur akan menerima keuntungan yang dijanjikan pada peringkat awal, namun setelah membuat pindahan wang dalam jumlah yang besar, pihak syarikat akan memutuskan hubungan dengan pelabur.” jelasnya.

Beliau mengingatkan orang ramai yang berminat dengan tawaran bekerja secara sambilan untuk sentiasa berhati-hati.

“Sekiranya diminta untuk membuat pindahan wang terutama kepada akaun bank milik individu persendirian, ianya adalah petanda bahawa anda mungkin menjadi mangsa penipuan.

“Pihak kami percaya wujud kemungkinan untuk penjenayah menyamar sebagai entiti perniagaan yang sah dalam usaha memperdayakan mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan secara terperinci dengan syarikat atau agensi yang berkaitan sebelum memohon atau menerima apa jua tawaran kerja yang meragukan dan sebarang nasihat atau maklumat lajut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599.