15 gerai makan MPK terbakar

Operasi memadam kebakaran pada 15 barisan gerai makan MPK

KLANG, 24 Feb – 15 barisan gerai makan milik Majlis Perbandaran Klang (MPK) di jalan besar Pandamaran telah terbakar dalam kejadian awal pagi, Khamis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.14 pagi tadi.

“Pihak kami menghantar 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang serta BBP Andalas untuk ke lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, operasi memadam kebakaran tersebut mengambil masa hampir dua jam.

“Struktur gerai jenis terbuka yang setiap satu berkeluasan 100 kaki persegi itu terbakar 80 peratus, jadi anggota penyelamat bertindak melakukan kerja pemadaman menggunakan tiga aliran hos sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan .

Api berjaya dikawal pada pukul 3.40 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 5.18 pagi.

Dilaporkan, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu.