22 ajaran sesat diwarta di Sabah

TAWAU: Sebanyak 22 ajaran sesat atau ajaran salah kerana menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah diwartakan di Sabah berdasarkan senarai yang dikeluarkan Pejabat Mufti Negeri Sabah, setakat ini.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Mohd Ariffin Arif, berkata antara ajaran terbabit ialah Kumpulan Nasrul Haq, ajaran Tuan Haji Uyut Utun, Tarikat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani, ajaran Qadiani, dan ajaran Islam Jama’ah Di Negeri Sabah.

Turut diwartakan ialah kumpulan Tariqah Hasaniah, Black Metal, Kumpulan Tal Tujuh, Syiah, Fahaman Liberalisme dan Pluralisme, ajaran Milah Abraham, Hizbut Tahrir dan Dakyah Wahabiah.

Katanya, setakat ini sebanyak 26 kumpulan ajaran sesat sudah dikenal pasti termasuk empat kumpulan yang kini sedang dalam pemerhatian sebelum tindakan mewartanya dilakukan.

“Setakat ini penyebaran ajaran sesat di Sabah adalah terkawal dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bekerjasama rapat dengan pasukan keselamatan, penguatkuasa dan agensi kerajaan yang lain dalam mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kumpulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Akidah Radikalisme dan Ektremisme Agama di Dewan Perpustakaan Tawau, di sini, hari ini.

Seminar sehari itu menampilkan empat penceramah antaranya Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Komunikasi Strategik, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, Al-Azharri Siddiq Kamunri yang menyampaikan ceramah bertajuk Dasar Keselamatan Negara dan Isu-Isu Semasa.

Menyentuh mengenai seminar itu, Ariffin berkata ia dapat memberi maklumat yang baik kepada masyarakat untuk lebih menghayati konsep dan nilai wasatiyah berasaskan Maqasit Syariah.

Sehubungan itu, katanya penguasa agama bertanggungjawab menghalang radikalisme dan ektresmise yang sifatnya lebih suka menyalahkan orang lain selain lebih gemar mengkafirkan akidah orang lain.

Dalam pada itu beliau turut meminta supaya perbahasan dalam kalangan pendakwah tidak memperbesarkan perkara ‘Furuq’ sebaliknya lebih fokus kepada perkara asas yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Pendakwah mesti memahami budaya Sabah, sebab itu kita perkenalkan “Fiqh Sabahi” iaitu Manhaj Sabah, cara berdakwah di Sabah yang mengikut budaya dan adat resam masyarakat di negeri ini.

“Sangat penting, pendakwah berdakwah secara berhikmah, jangan kasar, jaga peribadi, jangan membuat sesuatu yang bertentangan dengan nilai budaya dan ajaran agama,”katanya