BURUH LADANG MEMILIKI SYABU SEBERAT 5.2 GRAM DICEKUP POLIS KUNAK

Ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu yang dirampas oleh polis dari seorang buruh ladang pada Rabu

Oleh Faizal Rahman

KUNAK : Seorang buruh ladang ditangkap polis kerana memiliki dadah jenis syabu seberat 5.2 gram dianggarkan bernilai RM 780  di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Lormalong pada hari Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Supt Baharin Md Tahir, saspek yang berumur 37 tahun ditahan lebih kurang jam 11.30 pagi  oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kunak.

Pasukan polis telah merampas satu paket lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dalam  beg silang yang dibawa saspek setelah melakukan pemeriksaan terhadapnya, kata Baharin.

Beliau memberitahu bahawa saspek dan barang rampasan telah dibawa ke IbuPejabat Daerah Polis Kunak untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.