Peter (kanan) dan Sailun menunjukkan gading gajah yang dirampas ekoran tertangkapnya enam saspek pada hari Rabu
TAWAU : Polis menahan enam lelaki termasuk seorang peneroka dan pekerja yang digajikan khas Felda, serta seorang pendatang tanpa izin, yang disyaki terbabit dalam kes tembak seekor gajah yang ditemui mati di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas , Kalabakan pada hari Rabu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas berkata kesemua saspek yang berumur lingkungan 48 hingga 68 tahun itu ditahan antara pukul 12.20 tengah malam Rabu hingga tengah kelmarin dalam Ops Bersepadu Khazanah.
Beliau berkata bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis menahan seorang lelaki di Felda Umas 4, kira-kira pukul 12.20 tengah malam tadi yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan, dan susulan tangkapan, tiga lagi serbuan dilakukan di Felda Umas.
Menurutnya tiga lagi lelaki ditahan dalam serbuan lewat malam tadi, manakala dalam serbuan tengah hari tadi dua lagi ditahan, masing-masing di Felda Umas dan Ladang Dumpas.
“Daripada enam lelaki ini dua merupakan penembak gajah dan empat lagi bersubahat termasuk menyimpan senjata api serta menyembunyikan gading gajah.
Saspek pendatang asing tanpa izin itu dipercayai menyimpan senjata api manakala seorang pekebun kecil menyembunyikan gading gajah yang dipotong,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, Sailun Aris, di sini.
Peter berkata dalam operasi itu polis turut merampas selaras pump gun (berlesen), selaras senapang angin buatan sendiri, tiga laras senapang patah buatan sendiri (bakakuk), 53 butir kelonsong peluru, 58 butir peluru hidup, satu buku lesen memiliki senjata dan peluru termasuk seunit telefon bimbit.
“Dipercayai selaras pump gun serta selaras bakakuk digunakan untuk menembak gajah itu,” katanya dan menambah semua suspek akan ditahan reman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 25(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Ditanya motif perbuatan menembak haiwan itu, Peter berkata berdasarkan siasatan, kejadian pada 23 Sept kira-kira pukul 9.00 pagi di kawasan rizab Sungai Udin itu dipercayai dilakukan oleh saspek yang ditugaskan mengawal kemasukan gajah ke kawasan ladang, dan saspek turut mengambil gading haiwan itu.Sementara itu,
Peter berkata pemberi maklumat iaitu seorang lelaki awam akan menerima ganjaran RM10,000 daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) sepertimana yang telah dijanjikan.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK