AHLI KUMPULAN PENJENAYAH “GENG GINJO” DITANGKAP POLIS BELURAN

Kasim bersama pegawainya menunjukkan senjata yang dirampas dari ahli kumpulan penjenayah “Geng Ginjo”

Oleh Faizal Rahman

BELURAN:  Empat ahli kumpulan penjenayah “Geng Ginjo” telah ditangkap oleh polis sini bersabit 15 kes jenayah yang berlaku di daerah ini dan juga di Telupid, Paitan, Sapi-Nangoh, Pitas dan Kota Marudu.

Kesemua saspek adalah warga Indonesia berumur 20 hingga 31 tahun termasuk ketua kumpulan yang terdiri dari dua penganggur dan dua buruh ladang, Ketua Polis Daerah Supt Kasim Muda dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran hari ini.

Kasim memeriksa motosikal curi yang dirampas semasa “Op Lejang”

Saspek-saspek dicekup oleh sepasukan anggota polis melalui “Op Lejang” dari Sep 27 hingga 30. Pihak polis turut merampas dua bilah pedang samurai, satu laras senapang angin buatan sendiri dan 12 buah motosikal curi, kata Kasim.

“Empat saspek ini juga didapati positif dengan dadah jenis syabu. Pihak kami kini sedang giat memburu tiga lagi rakan sepenjenayah mereka yang masih bebas,” tambah Kasim.

Menurut Kasim, saspek telah mencuri motosikal dan kemudian menjualnya kepada pembeli dengan harga RM 800 sebuah. Mereka juga menukar motosikal curi dengan pengedar syabu untuk mendapatkan bekalan dadah tersebut.

Kasim menunjukkan senapang angin buatan sendiri semasa sidang media

Pihak IPD Beluran percaya saspek ini yang mula aktif sejak awal tahun ini, terlibat dalam satu kes samun, dua kes pecah rumah dan 12 kes curi motosikal, katanya lagi.

Dalam kejadian samun yang berlaku pada jam 5.00 petang Sep 29, tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan dua bilah pedang Samurai dan selaras senapang angin buatan sendiri telah menyamun seorang peniaga kedai runcit warga Pakistan semasa mangsa melalui kawasan ladang sawit menaiki sebuah motosikal, kata Kasim.

Saspek telah melarikan wang tunai lebih kurang RM 400 dan motosikal milik mangsa dalam kejadian tersebut. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kerugian dianggarkan lebih kurang RM 8,400, katanya lagi.