Anak pula menjadi mangsa sehingga terkorban

Kiulu: REMAJA lelaki berusia 15 tahun maut manakala adik perempuannya berusia tiga tahun parah ditetak dengan parang oleh rakan sekerja bapa mereka di Kampung Lubok, Kiulu, Tuaran, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang , remaja itu meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala adiknya dibawa ke Hospital Tuaran untuk dirawat.

Difahamkan, suspek berusia 66 tahun turut parah selepas dibelasah pekerja pembuat jalan dan dirawat di hospital sama.

Sumber berkata, kejadian disebabkan suspek berselisih faham dengan bapa kanak-kanak terbabit sebelum suspek datang ke rumah lelaki terbabit.

“Lelaki itu yang melihat suspek datang ke rumahnya segera melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek menyerang dua anak lelaki itu dengan parang,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 10:55 PM