KOTA KINABALU: Seorang anggota polis trafik dirempuh ketika sedang mengawal lalu lintas di Bulatan Masjid Negeri, di sini, hari ini.
Dalam kejadian yang videonya viral di media sosial itu, anggota trafik berusia 50 tahun terbabit bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami kecederaan.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.40 pagi ketika anggota trafik yang bertugas di Balai Polis Trafik Kota Kinabalu sedang berdiri bersama motosikalnya berdekatan bulatan itu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Perodua Alza dipandu seorang wanita berusia 32 tahun dari arah Tanjung Aru menuju ke Kepayan dan sebaik tiba di lokasi, Perodua Alza dikatakan hendak keluar dari bulatan menuju ke terowong Hospital Queen Elizabeth (HQE).
“Ketika memandu di lorong paling kanan, tiba-tiba sebuah kereta Inokom Hyundai dipandu lelaki 37 tahun masuk ke dalam bulatan dari arah kiri jalan lalu berlanggar pada bahagian sebelah kiri kenderaan.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu Perodua Alza hilang kawalan lalu meluncur ke hadapan dan terlanggar anggota trafik bersama motosikalnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Habibi berkata, anggota polis trafik berusia 50 tahun dan pemandu Perodua Alza tidak cedera hanya mengalami kerosakan pada kenderaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Dalam rakaman video itu, anggota trafik terus bangun manakala pemandu kereta Perodua Alza keluar daripada kenderaan dan menuju ke arah anggota trafik terbabit dan beberapa orang awam dilihat turut membantu.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK