TETAK BAPA SAUDARA KERANA TANGGA

BEAUFORT: Gara-gara tangga, seorang lelaki cedera di lengan dan jari kirinya selepas ditetak anak saudaranya di Kampung Kerukan, Kuala Penyu, di sini

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 56 tahun dikatakan mengambil semula tangga aluminium miliknya yang disimpan oleh suspek yang juga anak saudaranya berusia 42 tahun.

Berikutan itu, suspek tidak puas hati lalu datang ke rumah mangsa dengan membawa sebilah parang lalu melibas ke mangsa.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, mangsa yang cedera akibat ditetak menggunakan parang dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu, selepas mengalami luka di lengan dan jari kiri.

“Anak lelaki mangsa yang mengetahui kejadian itu kemudian membuat laporan polis pada hari sama kejadian itu berlaku.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis menahan suspek di kawasan sawah terbiar di kampung berkenaan, jam 5.30 petang hari yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmir berkata, pihaknya turut merampas sebilah parang yang disyaki digunakan oleh suspek ketika kejadian.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham suspek tidak puas hati apabila mangsa mengambil semula tangga aluminium miliknya yang disimpan oleh suspek.

“Siasatan masih dijalankan dan hasil semakan mendapati suspek sebelum ini pernah ditahan atas kesalahan ugutan jenayah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.