APMM tahan nelayan Vietnam tangkap balat secara haram di perairan Kudat

KOTA KINABALU, 1 Julai (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama lima kru bot yang menangkap balat atau timun laut, secara haram di perairan negara ini berhampiran Pulau Sibongor Laut di Kudat, semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kudat, Left Maritim Musa Dail berkata bot nelayan itu ditahan pada jam 10 pagi dan hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pendaftaran.

Beliau berkata lima kru bot termasuk tekong warganegara Vietnam berusia antara 29 dan 39 tahun itu juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Menurutnya nilai rampasan bot dan balat dianggarkan sebanyak RM600,000 dan kuantiti balat yang dirampas dianggarkan seberat 500 kilogram.

“Ini merupakan kes kesembilan melibatkan tangkapan nelayan asing menangkap balat di perairan Kudat pada tahun ini. Bot ini juga didapati menggunakan peralatan yang diharamkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Musa berkata perairan Sabah yang sememangnya kaya dengan balat serta permintaan dalam dan luar negara yang tinggi merupakan antara faktor yang menarik nelayan asing mengaut hasil negara secara haram.

Katanya kes disiasat di bawah Akta Perikanan1985 dan Akta Imigresen1959/63– BERNAMA