APMM TAWAU RAMPAS 1,060 KARTON ROKOK SELUDUP BERNILAI RM 35,800

Mohd Yusri (tengah) menunjukkan rokok- rokok seludup yang berjaya dirampas oleh APMM Tawau semalam

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya merampas sebanyak 1,060 karton rokok seludup bernilai RM 35,800 di perairan berhampiran Kampung Ice Box semalam.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Mohd Yusri Hussin , sebuah bot APMM yang sedang melakukan rondaan “Ops Pluto Timur” telah mengesan sebuah bot laju dipercayai dari negara jiran menuju ke Sungai Tawau dalam keadaan mencurigakan pada jam 11.40 malam.

Bot laju tersebut memecut laju menukar haluan dan telah dikejar lebih kurang lima minit oleh bot ronda APMM sebelum dapat ditahan.Walau bagaimanapun dua lelaki kelihatan terjun ke laut dan berenang ke kawasan cetek berdekatan kawasan perairan Kampung Ice Box untuk melarikan diri, kata Mohd Yusri.

Mohd Yusri berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan saspek telah menjumpai beg plastik hitam mengandungi 20 kotak berisi 1,060 karton rokok pelbagai jenama.

Bot laju bersama satu unit enjin 200 kuasa kuda, tong minyak turut dirampas dan dibawa ke Jeti APMM Tawau untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967, kata Mohd Yusri.

Rokok-rokok berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran di sekitar Tawau. Jumlah keseluruhan rampasan termasuk rokok , bot laju bersama enjin dianggarkan RM121,800, tambah Mohd Yusri.

Beliau juga memberitahu bahawa kejayaan tersebut yang mendapat kerjasama Angkatan Tugas Bersama 2 itu adalah kes rampasan rokok pertama direkodkan APMM Tawau tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *