KOTA KINABALU: Sebuah bangunan kedai dan stor barangan elektrik di Jalan Tuaran, dekat pasar raya Bataras Kolombong, di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi.
Kebakaran itu disedari oleh pemilik kedai terbabit selepas dimaklumkan oleh seorang pekerja bengkel bersebelahan, kira-kira jam 3.30 petang.
Ketua Zon I Kota Kinabalu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penguasa Kanan Bomba Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan awam memaklumkan kejadian pada jam 3.36 petang.
Katanya, seramai 30 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Lintas dan BBP Kota Kinabalu bersama lima jentera termasuk dua lori tangki air dikerahkan ke lokasi bagi bantuan pemadaman kebakaran.
“Kebakaran membabitkan bangunan kedai dan stor barangan elektrik dan sebaik tiba bangunan itu sudah terbakar. Operasi memadam segera dilakukan.
“Kita mengambil masa sejam bagi mengawal api daripada merebak ke bangunan berhampiran dan api dapat dikawal jam 4.15 petang,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Hamsa berkata, usaha memadamkan kebakaran menghadapi kesukaran berikutan pili bomba yang terletak berhampiran bangunan itu tiada air.
“Bagaimanapun dua jentera tangki air dengan muatan 20,000 liter air bagi setiap satu tangki berjaya mengawal api daripada merebak.
“Terdapat dua bengkel dan sebuah kilang berhampiran yang hanya dipisahkan oleh zink namun kita berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan berkenaan,” katanya.
Tambah beliau lagi, punca kebakaran dan jumlah kerugian sebenar masih dalam siasatan.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK