BERNAMA.com – Tiada kemasukan pelarian Rohingya ke Kedah

[ad_1]

ALOR SETAR, 17 April (Bernama) — Tiada kemasukan kumpulan pelarian etnik Rohingya di kesan di kawasan sempadan Kedah, kata Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob.

Beliau berkata, kawalan keselamatan di sempadan negeri sentiasa dijalankan dengan kerjasama dan bantuan daripada agensi-agensi lain termasuk Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Jabatan Imigresen.

“Kita akan kumpul maklumat secara berterusan dan buat masa ini kawasan sempadan semua selamat dan dalam keadaan terkawal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Lawatan dan Derma Darah di Hospital Sultanah Bahiyah sempena sambutan Hari Polis ke-22, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada berlaku kemasukan etnik Rohingya di sempadan negeri ini susulan kejadian seramai 47 pelarian itu yang ditahan pihak berkuasa selepas mendarat di perairan Kuala Perlis, 8 April lepas.

Zainuddin yang baharu dilantik sebagai ketua polis negeri ini berkuatkuasa 11 Mac lepas berkata isu keselamatan sempadan antara yang menjadi keutamaannya selain masalah jenayah lain di Kedah.

“Selepas dilantik menjadi Ketua Polis Kedah, fokus saya adalah untuk menyelesaikan kes traumatik yang melibatkan ragut dan rogol, perjudian haram, pengedaran dadah, geng, samseng jalanan, dan kes penipuan scam.

Bagi memastikan semua agenda ini tercapai, ia akan dilaksanakan melalui aktiviti pencegahan jenayah, pengumpulan maklumat berterusan, penggunaan sosial media dan menggunakan undang-undang sedia ada,” katanya.

— BERNAMA

[ad_2]