CEO baharu Central Spectrum sasar bawa pelaburan berkualiti ke Selangor Bio Bay

[ad_1]

PELABUHAN KLANG, 12 Mac (Bernama) — Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Sdn Bhd Mohamad Razif Abdul Wahab, akan meningkatkan usaha untuk membawa masuk lebih banyak pelaburan berkualiti untuk memacu pertumbuhan dalam projek Selangor Bio Bay (SBB), satu daripada pembangunan perdana syarikat itu.

Mohamad Razif, yang dilantik ke jawatan itu pada Februari tahun ini, berkata beliau menjangkakan fasa pertama pembangunan SBB, terletak di Precinct 1A di Pulau Indah di sini, bakal menarik pelaburan bernilai kira-kira RM500 juta untuk beberapa tahun akan datang.

“Kami mempunyai pelan lima tahun (sebagai pemaju utama di Pulau Indah) yang kami perlu bawa ke tahap lebih tinggi dan terjemahkan teori pelan itu ke tapak fizikal,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran logo korporat baharu Central Spectrum bertema ‘The New Chapter’ oleh Exco Pelaburan Selangor Datuk Teng Chang Kim di Precinct 1A SBB di sini, hari ini.

Mohamad Razif, yang juga pengurus besar kanan jualan dan pemasaran Central Spectrum berkata SBB adalah inisiatif strategik yang berobjektif memajukan dan memacu pertumbuhan industri bioteknologi di Malaysia.

SBB adalah projek pembangunan bercampur-campur terbaru diterajui Central Spectrum selaras dengan inisiatif Smart Selangor.

Diwujudkan sebagai lembah bio yang meliputi kawasan seluas lebih 1,012 ekar (kira-kira 404.8 hektar) di Pulau Indah, SBB merupakan kawasan biosains termasuk institut penyelidikan, makmal dan aktiviti pembuatan berkaitan bioteknologi.

Fasa pertama pembangunan SBB di Precinct 1A di Pulau Indah, meliputi kawasan keseluruhan 161 ekar (kira-kira 64.4 hektar) yang kini dibuka untuk dijual.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Razif berkata sejak Central Spectrum melancarkan Taman Perindustrian Pulau Indah pada pertengahan 90-an, nilai tanah di kawasan itu telah meningkat daripada RM15 bagi satu kaki persegi kepada RM80 satu kaki persegi ketika ini.

“Pada 2017, IKEA telah bersetuju untuk mewujudkan hab pengedaran perabot ketiga terbesarnya di Pulau Indah dan ini membuktikan keyakinan mereka terhadap potensi di Selangor,” katanya.

Beliau juga berpendapat bersempena ulang tahun ke-25 Central Spectrum pada tahun ini, syarikat telah mencatatkan kejayaan besar dengan identiti korporat yang baharu yang dilihat sebagai langkah yang dapat meningkatkan lagi kedudukan jenamanya dan kehadiran di Malaysia.

— BERNAMA



[ad_2]