MIDA sasar lebih banyak pelaburan teknologi maju Korea Selatan

[ad_1]

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) — Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berharap untuk menarik lebih banyak pelaburan Korea Selatan, terutamanya dalam industri teknologi maju.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata sasaran itu mampu direalisasikan susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MIDA dan Agensi Penggalakkan Perdagangan-Pelaburan Korea (KOTRA) di sini, hari ini.

“Malaysia masih dalam usaha menarik pelaburan langsung asing yang menepati aspirasi menjadi sebuah negara maju. Malah, Malaysia kini bergerak pada momentum penuh untuk menjadi sebuah ekonomi berpengetahuan dan digital.

“Malah, sejajar kedudukan Korea Selatan yang dikenali kerana kemajuan teknologinya, khususnya robotik, kita berharap dapat menarik lebih banyak pelaburan seumpamanya dalam bidang-bidang ini (bagi kemajuan masa depan),” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoU itu di sini, hari ini.

Setakat September 2018, pelaburan Korea Selatan di Malaysia dalam sektor pembuatan adalah sebanyak US$9.7 bilion (US$1=RM4.08) yang membabitkan 557 syarikat.

Menurut Azman, kerjasama itu akan membolehkan MIDA memanfaatkan kemudahan KOTRA yang merangkumi 10 ibu pejabat serantau dan 124 pusat di 86 negara, sekali gus menawarkan kesalinghubungan yang berfaedah bagi komuniti perniagaan di kedua-dua negara.

“Pakatan yang saling menguntungkan itu termasuk aspek pertukaran maklumat mengenai persekitaran, peluang dan aktiviti promosi pelaburan serta amalan terbaik dari segi galakan pelaburan,” katanya.

Pada Khamis, MIDA dan Dewan Perniagaan Korea akan bersama-sama menganjurkan Forum Perniagaan Malaysia-Korea yang dijangka dihadiri oleh 400 orang yang sebahagian besarnya merupakan ahli perniagaan Korea.

— BERNAMA



[ad_2]