Pasukan PPM Sandakan memeriksa kotak yang berisi telur penyu di tebing Sungai Batu 3
Oleh Kahar Ali
SANDAKAN : Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya mematahkan cubaan menyeludup 1,000 telur penyu untuk dipasarkan kepada orang awam di kawasan tebing sungai Batu 3 dekat sini Selasa.
Dalam kejadian jam 3 petang itu, telur penyu dianggarkan bernilai RM2,000 itu ditemui di tepi parit besar di kawasan berkenaan.
Komander PPM Sabah, ACP Hj Mohamad Pajeri Ali, berkata rampasan dibuat hasil maklumat risikan dan pemantauan sepasukan PPM Sandakan.
“Pemeriksaan dikawasan itu menemui kotak berisi plastik hitam dan di sembunyikan terdapat 1,000 telur penyu dianggarkan bernilai RM2,000 dipercayai untuk dipasarkan kepada orang awam di sekitar pasar daerah Sandakan,” katanya lagi.
Menurut Mohamad Pajeri, telur penyu tersebut disyaki diseludup dari negara Filipina sebelum dipasarkan di sini.
Bagaimanapun, Mohamad Pajeri berkata, juragan bot yang disyaki pemilik telur penyu itu bertindak melarikan diri ke laut selepas menyedari ketibaan polis dikawasan berkenaan dan saspek juga telah berjaya meloloskan diri.
Susulan itu, beliau berkata, semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan bagi proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sandakan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, kata Mohamad Pajeri.

More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Cubaan seludup minyak masak, seorang lelaki ditahan di Lahad Datu
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK